Suka dan duka silih
berganti, umpama air yang ada pasang dan surutnya. Begitulah juga hidup ini.
Walau tahu itu hukum alam. Tapi hati seolah-olah tidak mahu dan tidak dapat
menerima hakikat. Pedih dan sakitnya
hati ini tidak dapat dibayangkan. Hanya dapat diterjemahkan dengan titisan air
mata. Tat kala itu, memang aku tak dapat menafikan betapa sakit dan terlukanya
naluri aku ni. Aku ibarat orang yang
cuba melawan arus. Dapatkah dibayangkan? Begitulah keadaan aku apabila perlu
bersabar dan melawan prinsip yang aku pegang selama ini, ‘berani kerana
benar!’. Namun dalam keadaan tertentu aku cuba mengetepikannya atau dengan kata
lainnya tidak terlalu ekstrim dgn prinsip yang tertanam dalam diri ini.
Hati aku bagai
disiat-siat dengan kata-kata itu! Ya ALLAH, aku yang dipersalahkan atas perkara
yang bukan disebabkan oleh aku. Aku adalah mangsa! Sesedap hati memindahkan
kesalahan dan kesilapan itu dibahu aku?! Hati dipukul pilu saat diterjah dengan
kata-kata sebegitu. Penjelasan aku dipatahkan dan ditidakkan. Manusia ini
memang benar-benar mencabar kesabaran aku. Pertolongan yang kau minta
rupa-rupanya adalah jerat buat aku! Bahana yang kau hadiahkan! Ini benar-benar
memberi satu ‘memori paling indah’ buat aku. Langsung tiada perasaan bersalah
atau lafaz maaf! Kalau ada sekali pun, tidak sesingkat dan semudah itu untuk
aku menuturkan lafaz kemaafan. Kerana luka di hati masih basah. Air mata masih
belum mahu berhenti mengalir.
ALLAH itu maha
pengasih, maha mendengar dan maha mengetahui. Di kala aku jatuh, di saat aku
lemah, di waktu aku tersungkur, dan ketika
aku hilang pedoman. DIA hadir meniupkan semangat pada diriku. Syukur
kerana DIA tetap bersamaku! Memberikan
aku kekuatan, kesedaran dan melahirkan rasa insaf pada diri. Sesungguhnya DIA
tidak pernah tidur dan sentiasa mengingati hamba-NYA. Cuma kita sahaja yang
melupakan-NYA. Ya ALLAH aku berdosa kepada-MU. Ampunilah aku kerana sentiasa
mengeluh dan merintih dengan ujian hidup.
Sampir sahaja air
jernih ini berderai. Bila terfikir yang aku berada di khalayak ramai, segera
aku menahan sebak. Ini adalah yang kesekian kalinya perkara seumpama ini
berlaku padaku. Ya ALLAH, aku sedar akan kelemahan diri. Sesungguhnya ujian
yang kau berikan pada aku ini adalah satu anugerah. Kerana ia mengajar aku agar
bersyukur dengan nikmat-Mu dan tabah dengan ujian-MU. Jika dibandingkan dengan
ujian buat insan yang berada dihadapan ku. Ujian aku ini hanya sementara, tapi
dia?! Dia perlu berhadapan dan mengharunginya sepanjang hayat. Namun dia masih
mampu meneruskan hidup seperti insan lain. Masih mampu tersenyum,walaupun
dirinya serba kekurangan. Ya ALLAH betapa hina nya aku! Mengalah dan mengeluh
dengan ujian yang sekecil cuma ini.
Terima kasih Ya
ALLAH, kau membimbingku dikala aku memerlukan, dikala aku lemah. Ku bersyukur
Ya Rabb. Aku perlu tabah dan sabar dengan ujian yang kecil ini. Aku patut
bersyukur kerana aku adalah insan yang KAU pilih untuk menerima ujian ini.
Ampunkan hamba-MU ini. YA ILLAHI, bimbinglah diri ini dan jangan biarkan aku
terkapai sendiri. Aku mohon pada-MU YA RAHMAN.
Ulasan