Bersyukurlah Wahai Insan

Rintik-rintik hujan yang turun ini memberikan aku ilham dan sumber inspirasi untuk menulis. Rintik-rintik hujan yang ini juga membawa aku jauh menjelajah dan meneroka ciptaan-NYA. ALLAH memberi kita akal untuk berfikir, memberi kita sepasang mata untuk melihat kebesarannya, memberi kita telinga untuk mendengar, dan memberi kita suara agar dapat berkata-kata. Tapi pernah kita bersyukur dengan nikmat kurniaan-NYA ini? Bukan sahaja tidak/jarang bersyukur. Malah baru sahaja di uji dengan sedikit dugaan, mudah sahaja hati mengeluh dan menyalahkan takdir. Tidak kah DIA kasihan pada diri ini? Adakalanya tutur itu meluncur keluar dari mulut kita bukan?

Hari ini, ALLAH memperlihatkan aku akan sesuatu yang membuatkan hati kecilku ini terusik. Ya ALLAH, terasa hina dan kerdilnya hamba MU ini. Dugaan dan ujian yang KAU turun dan timpakan kepada ku selama ini hanya sekecil cuma jika di bandingkan dengan insan yang berada di hadapan mataku. Di dalam LRT tadi, seorang wanita berusia dalam pertengahan 20-an atau awal 30-an duduk di hadapan ku. Mata ini tertatap kepadanya, tidak lekang dari memerhatikan setiap gerak gerinya sejak dia melangkah masuk ke dalam perut LRT Putra. Tabah dan cekal nya insan di hadapan ku ini! Aku memerhatikan gelagatnya yang begitu asyik menekan punat-punat kecil di hadapanya, yang dia sendiri tidak begitu pasti apa yang di tekannya. Sayu hati ini melihat dia, namun jauh di sudut hati aku begitu kagum dengan kesugguhan dan ketabahannya. Hati ku bertanya sendiri andainya aku seperti dia, adakah aku secekal dan sekuat insan di hadapanku ini. Aku terus memerhatikan gerak geri dia, tidak berkalih walau sesaat. Dia terus menekan punat-punat kecil itu, sambil bibirnya bergumam yang aku sendiri tidak begitu pasti. Mungkin cuba mengingat atau menghafal sesuatu. Ingin sahaja aku pergi kepadanya dan membantu. Tetapi takut niat ini disalah tafsirkan. Sebak hatiku melihat keadaannya, dia cekal menempuh hari-harinya. Walaupun tidak mampu melihat, namun dia tetap meneruskan hidup seperti insan lain. Namun kita? Baru di uji dengan sedikit dugaan dalam hidup, sudah mengeluh dan merungut. Dan lebih kejam lagi, menyalahkan nasib dan takdir. Astagfirullah.

Perjalanan aku pada malam ini terasa panjang. Namun memberikan aku kesedaran, betapa aku adalah insan yang bertuah kerana dicipta dengan sempurna. Manusia adalah ciptaan ALLAH yang unik, tetapi manusia itu sendiri tidak menyedari dan bersyukur dengan penciptaan dirinya. Lantas, ku titip dan tiupkan kata-kata semangat kepada diri ini. Bersabar, cekal dan tabahlah dalam menempuh setiap jalan yag berada dihadapanku ini. Berdiri dan berjuanglah sebagai seorang srikandi! Walau apa pun yang datang menerjah, tempuhlah dengan hati yang terbuka. Yakinlah setiap apa yang berlaku itu ada hikmah disebaliknya. DIA lebih maha mengetahui. Bersyukurlah. 

Selamat Berjuang di Jalan ALLAH. Walau perit pun, tempuhilah ia. Kerana disebalik kepahitan itu, pasti ada kemanisannya. Jalan Mujahid sememangnya pahit, tetapi ia adalah manis di akhirnya. Percaya dan yakinlah.

Ulasan

Catatan Popular